JAKARTA – Doktor-doktor pakar di Hospital Dr Soetomo
Surabaya sedang menangani kes seorang bayi yang dilahirkan dengan
jantungnya berada di luar badan, suatu keadaan yang dikenali sebagai
Pentalogy of Cantrell.
Bayi perempuan berusia 15 hari itu, yang dirujuk ke
hospital berkenaan pada Sabtu, kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi
(ICU), untuk distabilkan keadaannya.
Media tempatan di Indonesia melaporkan bahawa bayi
bernama Febryana Omega Hayati itu merupakan anak kelima pasangan Ishak
Manu, 44, dan Nur Hayati, 34, yang merupakan penduduk Surabaya.
Ketua Bahagian Neonatologi hospital itu, Dr Agus
Harianto berkata, kes bayi seperti itu adalah yang ketiga diterima
Hospital Dr Soetomo.
Seorang doktor pakar jantung, Yan Efrata Sembiring
dilaporkan berkata, kelainan kelahiran itu sangat jarang berlaku iaitu
nisbah satu berbanding lima juta kelahiran bayi.
Bagi menangani kes seumpamanya, yang perlu dilakukan
pada peringkat awal adalah mengelakkan organ yang berada di luar badan
itu daripada terkena jangkitan dan setelah keadaannya bertambah baik,
pasukan doktor akan segera melakukan pembedahan bagi menutup organ itu. –
Bernama