LELAKI maut, manakala anaknya cedera dibelasah sekumpulan warga asing selepas dituduh mencuri di hadapan kedai runcit berhampiran surau di Kampung Petagas, Putatan, kelmarin.
Mangsa, Abdul Shukur Abdullah, 57, meninggal dunia selepas beberapa jam menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1).
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan bahawa mangsa meninggal dunia semalam.
Sebelum itu, Mohd Haris berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada anak perempuan mangsa yang mengatakan bahawa ayah dan adik lelakinya berusia 30-an dipukul sekumpulan lelaki.
“Siasatan awal mendapati, pengadu diberitahu bahawa ayah dan adiknya dipukul di hadapan kedai runcit berhampiran sebuah surau di Kampung Petagas.
“Apabila pengadu tiba di lokasi kejadian, pengadu mendapati ayahnya dalam keadaan tidak sedarkan diri manakala adiknya terbaring mengerang kesakitan serta mengadu sakit di bahagian tangan dan kaki sebelah kanan,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Haris berkata, anak perempuan mangsa dimaklumkan oleh adiknya bahawa dia dipukul sekumpulan warga asing dipercayai rakan kepada pemilik kedai terbabit kerana dituduh mencuri.
“Dia kemudian membawa ayahnya ke hospital dengan bantuan orang ramai menggunakan ambulans dan dimasukkan ke zon kritikal manakala adiknya dalam keadaan separa sedar.
“Bagaimanapun, polis menerima maklumat bahawa ayah pengadu disahkan meninggal dunia. Bagaimanapun, perkembangan lanjut akan dimaklumkan,” katanya.
Terdahulu, Mohd Haris berkata, susulan kejadian itu, polis turut menahan dua lelaki warga asing berusia lingkungan 30 dan 40 tahun yang disyaki terbabit dalam itu.
Sebelum ini, video berdurasi lapan minit 42 saat tular di Facebook sejak semalam menunjukkan seorang lelaki tidak sedarkan diri dipercayai dipukul dalam kejadian itu.