-->

𝗧𝗲𝗸𝗮𝗻𝗮𝗻 𝗛𝗶𝗱𝘂𝗽, 𝗘𝗺𝗽𝗮𝘁 𝗦𝗲𝗸𝗲𝗹𝘂𝗮𝗿𝗴𝗮 𝗖𝘂𝗯𝗮 𝗕𝘂𝗻𝘂𝗵 𝗗𝗶𝗿𝗶 𝗗𝗶𝘀𝗲𝗹𝗮𝗺𝗮𝘁𝗸𝗮𝗻


Mangsa yang diselamatkan pasukan polis dan bomba selepas cuba membunuh diri dengan melepaskan gas memasak di di flat Sir Indah, Kuala Manggatal, Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Pihak berkuasa menyelamatkan empat sekeluarga yang cuba membunuh diri dengan melepaskan gas memasak di dalam rumah mereka di Flat Sri Indah, Kuala Manggatal, di sini, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, insiden berkenaan disedari jiran kira-kira jam 3 pagi selepas terhidu bau gas memasak dari rumah keluarga terbabit sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan segera.
 
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata sebaik menerima maklumat, sepasukan polis dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Katanya, polis yang hadir ke lokasi kejadian bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terpaksa memecah masuk ke rumah berkenaan sebelum menyelamatkan semua mangsa.

“Semua mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat terhidu gas memasak yang dilepaskan di dalam rumah di tingkat empat bangunan berkenaan.
 
“Mangsa yang terbabit adalah sepasang suami isteri berusia 60 dan 63 tahun serta dua anak berusia 29 dan 26 tahun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, semua mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Bagaimanapun keadaan semua mangsa stabil,” katanya.

Sementara itu, Habibi berkata, siasatan awal mendapati anak lelaki pasangan itu yang berusia 29 tahun dikatakan terbabit dalam beberapa aktiviti penipuan ‘scammer’.

“Selain itu, suspek turut terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dan bekas individu dalam pemantauan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk sejauh mana pembabitan suspek dengan kegiatan penipuan.

“Kes disiasat mengikut mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri,” katanya.

Credit:  Berita Harian
LihatTutupKomentar