Jika kita lihat, kes makin lama makin meningkat saban hari, malah jumlah kematian pula tidak kurang hebatnya.Tugas menguruskan mayat pesakit COVID-19 sudah tentu agak mencabar kerana ia perlu diuruskan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.Selain itu, penggali kubur yang menanti di tanah perkuburan juga turut merasai cabaran yang sama.
Baru-baru ini, seorang penggali kubur di Indonesia menceritakan luahan hatinya yang terpaksa bekerja keras menggali kubur untuk mayat pesakit COVID-19 setiap hari tanpa rehat secukupnya.Penggali tersebut yang dikenali sebagai Minar, 54, mendakwa tugasnya kini tidak pernah sesibuk seperti sekarang sepanjang 33 tahun berkhidmat sebagai penggali kubur di tanah perkuburan Pondok Rangon, Jakarta Timur.
“Sekarang sangat melelahkan kerana ada begitu banyak mayat tiba setiap hari, jadi saya berasa lelah kerana menggali tanpa henti.
“Satu kubur memerlukan dua jam penggalian dan saat ini saya menggali hingga lima kubur sehari.
“Saya (menggali) bergantung pada waktu, kadang-kadang ketika mayat sudah tiba, kuburnya belum siap,” katanya ketika ditemuramah agensi berita Singapura, Channel News Asia baru-baru ini, memetik laporan Suara.com.
Tenaga kerja tidak cukup
Difahamkan, setiap kubur yang digali memerlukan hingga empat orang dalam satu pasukan penggalian, namun ketika musim kematian yang memuncak ini, adakalanya tenaga mereka tidak mencukupi.
Disebabkan pengebumian mayat pesakit COVID-19 memerlukan langkah keselamatan yang ketat, prosesnya terpaksa dilakukan dengan cepat bagi mengelakkan virus tersebut tersebar.
Ahli keluarga si mati juga tidak dibenarkan untuk mengiringi jenazah sehingga selesai dikebumikan.
“Berbeza sekarang, tidak ada keluarga almarhum yang menyaksikan proses (pengebumian).
“Semuanya harus dilakukan dengan cepat.
“Tidak lebih daripada lima orang dapat berkumpul di sekitar kubur setelah pengebumian selesai dan ambulans pergi,” tambahnya lagi.
Menurutnya, dia sering turut bersedih setiap kali melihat keluarga si mati mengucapkan selamat tinggal terakhir mereka dari jauh.
Satu kubur kurang dari 10 minit
Sementara itu, seorang lagi penggali kubur, Junaidi Hakim, turut meluahkan bahawa mereka terpaksa bekerja keras untuk menyelesaikan pengebumian mayat secepat yang boleh.
“Mereka harus segera menyelesaikan pengebumian jenazah dalam waktu kurang dari 10 minit.
“Begitu juga ketika peti (keranda) diturunkan dari ambulans, jenazah harus segera dikebumikan dengan cepat, hal itu bertujuan mengurangi risiko penularan virus,” memetik laporan Tribun News.
Kes jangkitan COVID-19 di Indonesia setakat hari ini merekodkan sebanyak 23,165 kes positif, selain 5,877 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj serta 1,418 kematian dicatatkan.